Anywheel Malaysia mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP)

Anywheel Malaysia e-scooter sharing services in Bayan Baru Penang location SPICE Convention Centre micro urban mobility

Gencatan Operasi Untuk Memerangi COVID-19

Sewaan Percuma Diberikan kepada Petugas Kesihatan, Pegawai Polis dan Lain-Lain yang Terlibat

Pada tahun ini, dunia digemparkan dengan satu ancaman wabak jenis baharu yang mempunyai asal-usul asli, dibentuk sepenuhnya oleh evolusi dan digelar sebagai Covid-19. Pada peringkat permulaan, wabak ini dilihat berleluasa di Wilayah Wuhan dan Hubei, China. Namun begitu, Covid-19 semakin berkembang dan menyerang populasi manusia di seluruh dunia, tidak terkecuali negara-negara benua Eropah, Amerika dan Afrika. Wabak ini menyebabkan selsema dengan gejala seperti batuk dan demam, malahan kesukaran untuk bernafas. Para penyelidik menganalisis bahawa penyebaran Covid-19 ini akan terjadi terutamanya melalui hubungan dengan orang yang dijangkiti ketika mereka batuk atau bersin. Wabak itu juga tersebar apabila seseorang menyentuh objek yang mempunyai virus di permukaanya, kemudian menyentuh mata, hidung atau mulutnya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia 2020

Pada jam 10.00 malam, bertarikh 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ucapan di televisyen dan secara rasmi mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah ini dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi Kerajaan Persekutuan Malaysia terhadap pandemik Covid-19 pada 18 Mac 2020, maka kawalan pergerakan itu berlangsung di seluruh negara. Insiden ini juga sering dirujuk dalam beberapa syarikat media tempatan sebagai ‘penguncian separa’ di Malaysia. 

Berikut merupakan penerangan secara terperinci mengenai PKP dari 18 Mac 2020 sehingga 14 April 2020:

  • Larangan pergerakan dan perhimpunan secara besar-besaran di seluruh negeri, termasuk semua kegiatan agama, sukan, sosial dan budaya. Semua aktiviti keagamaan di masjid seperti solat Jumaat harus dtangguhkan.
  • Rakyat Malaysia dihalang dari meninggalkan negara ini, sekatan dilakukan ke atas kemasukan warga asing ke Malaysia.
  • Kecuali untuk perkhidmatan infrastruktur dan pasar raya, pasar borong, kedai runcit dan kedai serbaguna yang menjual keperluan harian, semua industri dan tempat-tempat lain mesti ditutup.
  • Semua taska, sekolah, termasuk sekolah berasrama, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz serta institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti, serta universiti dan pusat latihan vokasional mesti ditutup.

Pada fasa pertama perintah ini dijalankan pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, hasilnya amat mendukacitakan kerana menurut Datuk Dr Noorhisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media pada 25 Mac 2020, beliau melaporkan

“statistik terkini berikutan wabak Covid-19 di Malaysia, kes baharu berjumlah 172, jumlah kes keseluruhan melibatkan sebanyak 1796 orang, bilangan kes aktif sedang dirawat ialah 1578 orang, seramai 199 orang pesakit yang telah sembuh dan discaj dari hospital dan 19 orang maut akibat wabak itu”.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) berkata “perkara ini dijangka akan berterusan, kemuncak kes tertinggi dicatatkan pada bulan April dan vaksin penyakit ini sedang giat diselidik dan diusahakan”. Kegagalan fasa pertama bagi mengasingkan dan mengenalpasti sumber wabak Covid-19 ini juga telah mengakibatkan pelanjutan tempoh PKP sehingga 14 April 2020. 

Mengehadkan pilihan bagi mobiliti orang awam

Berdasarkan pengumuman mengenai penyambungan tempoh PKP kebelakangan ini, pihak Anywheel Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan majlis-majlis tempatan berhubungan sekatan yang diaturkan. Kebimbangan pihak syarikat itu adalah soal keselamatan sosial dan kepatuhan mereka terhadap tempoh PKP. Walaupun langkah pencegahan diamalkan melalui prosedur pembersihan secara berkala pada basikal dan e-skuter, tetapi sebelum situasi menjadi lebih buruk, pihaknya tidak mahu mengambil risiko untuk berhadapan dengan masalah mendatang. Tambahan lagi, mereka berkata

“kami tidak mahu peranti ini menjadi medium penyebaran Covid-19 terhadap orang awam di kawasan operasi dan kami tidak mahu rakyat Malaysia terdedah dengan risiko kontaminasi wabak tersebut”.

Majlis-majlis tempatan bersetuju untuk menghentikan sementara operasi perkhidmatan basikal dan e-skuter, pastinya perkara ini akan mengehadkan pilihan bagi mobiliti orang awam. En. Johan Sammy, Pengarah Anywheel Malaysia berkata 

“situasi ini haruslah diadaptasi oleh setiap individu sehingga kes ini dapat dibendung dengan efektif seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu #tinggaldirumah”. Beliau turut menjelaskan “sebagai pengendali pengangkutan, kita perlu menyokong hasrat kerajaan dan mematuhi PKP, justeru pihak kami akan menghentikan operasi pada waktu ini”. 

Pihak Anywheel Malaysia akan mengumumkan penutupan operasi kerana mereka mematuhi PKP yang disarankan oleh kerajaan Malaysia. Dimaklumkan bahawa Anywheel Malaysia akan menghentikan operasi mereka di Shah Alam, Selangor dan Bayan Baru, Penang pada 31 Mac 2020, jam 11.59 malam sehingga epidemik ini berjaya dikawal sepenuhnya.

Sewaan E-Skuter dan Basikal Percuma kepada Barisan Hadapan Covid-19

Anywheel e-scooters and bicycles at Urbanice Malaysia office in Damansara Heights urban micro mobility
E-skuter dan basikal Anywheel berada di pejabat Urbanice Malaysia yang terletak di Damansara Heights.

Demi mewujudkan teras keharmonian di Malaysia, Urbanice Malaysia bergandingan dengan Anywheel Malaysia telah sebulat suara untuk memberikan bantuan dari segi perkhidmatan sewaan secara percuma kepada petugas kesihatan, pegawai polis dan lain-lain yang terlibat untuk menggunakan e-skuter atau basikal semasa PKP dijalankan. Maka, perjalanan dan pengurusan mereka dapat berjalan dengan lancar.

Kawasan liputan bagi penggunaan servis itu adalah di sekitar Damansara, Shah Alam, Bandar Baru Nilai dan Pulau Pinang.

Kepada pihak PDRM, hospital kerajaan dan klinik yang berminat untuk menggunakan peranti tersebut, boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui e-mel Johan@anywheel.sg atau whatsapp pada nombor 013-7342207.

Pautan yang berguna:

http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

https://www.coronatracker.com/country/my

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.